Benarkan pelajar kritik jika ajak tonton filem ‘Anwar’, kata kumpulan ibu bapa

0
190

KERAJAAN harus buka ruang untuk pelajar mengkritik jika mahu mengundang mereka menonton filem seperti biopik “Anwar: The Untold Story”, kata kumpulan ibu bapa.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) berkata naskah seperti kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun lalu itu boleh dijadikan subjek perbincangan kritis dalam kelas berkait politik atau sejarah.

“Anak muda tentu mahu dilatih menajamkan pemikiran kritis. Tidak semestinya ulasan anak muda berpihak kepada kerajaan sekarang,” kata Setiausaha Kehormat Tunku Munawirah Putra, selepas kementerian disahkan mengundang pelajar Tingkatan 6 sebuah sekolah untuk menonton filem mengenai ahli politik itu, yang kini perdana menteri.

Baru-baru ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1) mengesahkan pelajarnya diundang untuk menonton filem itu bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya, selepas tular surat rasmi yang diedarkan kepada ibu bapa.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata aktiviti itu sebahagian pembelajaran di luar bilik darjah dan pelajar tidak dipaksa untuk menyertainya.

Dalam pada itu, pensyarah pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata sebelum ini pernah diadakan tayangan filem seperti “1957: Hati Malaya”, “Embun”, dan “Bukit Kepong” untuk program di sekolah.

Beliau tiada masalah dengan program itu kerana ia dianjurkan untuk pelajar Tingkatan 6, katanya. “Kumpulan ini mempunyai perspektif sendiri berkaitan perkara berlaku di sekeliling, malah telah layak mengundi.”

1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba menyentuh tentang kisah Umno dan dua presiden parti itu iaitu Onn Ja’afar dan Tunku Abdul Rahman ketika menuntut kemerdekaan; manakala Embun tentang daya juang seorang wanita ketika pendudukan Jepun dan Bukit Kepong berdasarkan tragedi sebuah balai polis diserang komunis, di Muar, Johor pada 1950.

Sementara itu, Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) berkata menteri wajar menjelaskan sumber dana bagi program berkenaan, bagi mengelak tanggapan negatif.

“Menteri wajar jelaskan sebab pelajar diundang ke tayangan tersebut dan dari mana sumber dana untuk menaja tayangan itu,” kata presidennya, Mohd Azizee Hasan.

PAGE pula berkata tayangan biopik Anwar kepada pelajar harus ditaja menteri atau korporat, dan bukan dibiaya Kementerian Pendidikan memandangkan ia boleh dianggap seperti “propaganda”.

“Bukan semua pelajar dapat atau mahu menontonnya. Ini (jika dibiaya kementerian) boleh dikatakan tidak saksama untuk semua,” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here