Sokongan UMNO akan terhakis jika pemimpin terus desak ahli sokong DAP, Isham beri amaran

0
96

SEORANG pemimpin UMNO memberi amaran sokongan kepada parti itu akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau mahukan ahli menyokong calon DAP pada PRN.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil, berkata walaupun UMNO berada dalam kerajaan perpaduan bersama DAP, dan dikatakan mampu memberi kelebihan kepada parti itu namun “hati akar umbi UMNO masih perlu dijaga”.

“Kita tak boleh hilang undi asas kita. Kita nak kejar undi orang, undi sendiri hilang, kita habis nanti.

“Puji melambung DAP tu tak payah lah, nanti penyokong kita kecil hati, jadi masalah kepada kita. Hentikan suruh orang kita undi DAP,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Kenyataan itu dipercayai merujuk saranan Ahli MKT UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini yang meminta penyokong UMNO mengundi DAP atas dasar dalam kerajaan perpaduan.

Presiden UMNO,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kemudian mengakui sukar untuk parti itu “memujuk” ahli menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu yang membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita jangan terlampau cepat untuk jadi ‘apologies’ DAP sebab penyokong kita melihat,” kata Isham.

Bekas ketua penerangan UMNO itu berkata, PRN enam negeri amat penting kerana akan memberi “signal” kepada kerajaan perpaduan di Putrajaya.

“Jika eksperimen ini tak menjadi, apa akan jadi? Kita bermasalah, kerajaan perpaduan pun bermasalah.

“Agihan kerusi antara parti sekutu dalam kerajaan perpaduan khususnya antara komponen PH dan UMNO juga akan menunjukkan sejauh mana mereka ikhlas dengan kita,” katanya lapor FMT.

Beliau juga berpandangan DAP mampu menang dengan sendiri di kubunya tanpa undi simpati ahli UMNO.

Bagaimanapun, katanya kerusi majoriti Melayu ditandingi PKR-UMNO-Amanah akan mengundang bahaya jika pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi.

“Sebab kerusi ini bergantung kepada undi orang Cina. Kalau mereka tak keluar, tiga parti ini akan bermasalah.

“Dulu kita lawan PH, pengundi tak suka PH dia undi kita, sekarang kita bersama PH, jadi dinamiknya orang Melayu nak undi kita atau tak?” soal Isham.

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka mengadakan PRN selepas Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here