Farid, Diana masih gagal cari kata putus hak penjagaan anak

0
156

PROSES sulh pasangan pelakon, Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, bagi membincangkan hak penjagaan anak (hadanah) masih gagal menemui kata putus.

Ini berikutan Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson masih berpegang pendirian mendapatkan hak penuh penjagaan anak.

Peguam mewakili Diana, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff, berkata masih tiada persetujuan bersama mengenai terma dipinta dan rundingan diteruskan kepada proses berikutnya pada 1 Ogos depan.

“Sulh kali ini adalah untuk membincangkan mengenai hadanah antara anak guam dan defendan (Farid). Sekarang sulh terbahagi kepada dua, pertama adalah hadanah interim pada 30 Mei ini.

“Proses hari ini adalah untuk hadanah induk yang kami failkan untuk mendapatkan hak penjagaan penuh.

“Ini adalah proses biasa, selepas kami failkan, ia akan dibawa ke sulh mediasi. Kalau pihak-pihak bersetuju untuk terma, ia boleh direkodkan sebagai perintah mahkamah.

“Tetapi, setakat ini, tidak ada lagi persetujuan dicapai. Jadi, kami akan teruskan dengan sesi sebutan untuk mahkamah,” katanya ditemui selepas selesai proses sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.

Ditanya faktor menyebabkan persetujuan masih tidak dicapai, Puteri berkata, perkara itu bergantung kepada Farid selaku defendan.

“Perkara itu perlu tanya kepada pihak defendan. Kami selaku plaintif yang memulakan kes, jadi apa yang diminta adalah terma biasa iaitu hak jagaan kepada anak guam kami serta hak lawatan kepada pihak defendan.

“Kami tetap dengan pendirian untuk mendapatkan hak jagaan dan defendan hak jagaan. Kami tidak pernah nafikan dan anak guam sentiasa fleksibel untuk defendan berjumpa anak-anaknya,” katanya, lapor BH Online.

Pada masa sama, Puteri menjelaskan, proses dijangka masih panjang kerana memerlukan perbicaraan lanjut susulan kedua belah pihak tidak mencapai kata sepakat, hari ini.

“Selepas ini, sebutan dalam mahkamah di hadapan hakim. Betul (akan lebih panjang) sebab hadanah penuh ini memerlukan perbicaraan.

“Jadi, kalau proses sulh yang berlangsung hari ini boleh mencapai kata sepakat, ia sudah boleh direkodkan dan diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Diana enggan memberikan sebarang komen mengenai proses sulh, hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here