25 September ditetapkan keputusan rayuan kerajaan untuk kembalikan larangan buku berunsur LGBT

0
134

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 25 Sept untuk menyampaikan keputusannya dalam rayuan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia untuk mengembalikan semula perintah mengharamkan buku “Gay is Okay! A Christian Perspective”.

Peguam Michael Cheah Ern Tien yang mewakili penerbit Chong Ton Sin dan pengarang Ngeo Boon Lin mengesahkan kepada Bernama bahawa keputusan mahkamah itu akan disampaikan pada tarikh itu dalam mahkamah terbuka.

Pengurusan kes mengenai rayuan itu didengar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman yang menetapkan tarikh keputusan tersebut.

Pada 18 Mei panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk M.Gunalan dan Datuk Wong Kian Kheong menangguhkan keputusan rayuan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak dalam rayuan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan memohon untuk mengembalikan larangan itu yang telah ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Feb 2022.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Chong dan Ngeo untuk membatalkan perintah larangan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri. 

Pada 17 Feb 2021, Chong dan Ngeo memfailkan semakan kehakiman yang mendakwa perintah pengharaman itu adalah tidak rasional serta tidak seimbang kerana tidak berlaku insiden tidak diingini yang dicetuskan oleh buku tersebut sejak ia diterbitkan lebih tujuh tahun lepas.

Pada 18 Dis 2020, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan satu perintah larangan terhadap buku itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang berkuat kuasa pada 27 Nov tahun sama.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Alwi yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia dalam hujahnya pada 18 Mei lepas memberitahu mahkamah bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku itu adalah sah, rasional dan mengikut undang-undang kerana beliau telah mempertimbangkan kandungan buku itu berkemungkinan menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.

Mahkamah turut mendengar hujahan pada hari yang sama daripada peguam Edmund Bon Tai Soon yang juga mewakili Chong dan Ngeo. Beliau berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dalam alasannya bahawa Menteri Dalam Negeri gagal untuk mewajarkan pengharaman buku itu.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here