Wanita rugi RM180,000 ditipu skim pelaburan wang dan emas

0
150

SEORANG wanita kerugian sebanyak RM180,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan wang dan emas, tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata wanita tempatan berusia 43 tahun itu yang membuat laporan polis semalam, mendakwa skim pelaburan tersebut ditawarkan oleh seorang lelaki tempatan yang juga kenalan lamanya pada Ogos tahun lepas.

Beliau berkata lelaki itu menawarkan skim pelaburan dengan pulangan sebanyak lima peratus pada setiap minggu berdasarkan jumlah wang tunai atau nilai emas yang dilaburkan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah melaburkan wang tunai ke dalam akaun kenalannya pada Ogos sehingga Oktober tahun lepas.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan pelbagai barangan kemas dan sebuah kenderaan dengan anggaran keseluruhan pelaburan sebanyak RM260,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun mangsa hanya menerima pulangan balik sebanyak RM80,000 bagi tempoh Ogos tahun lepas sehingga Februari tahun ini sebelum lelaki terbabit gagal dihubungi.

“Selepas tempoh itu, mangsa tidak menerima sebarang pulangan balik dan lelaki itu memberikan pelbagai alasan sebelum gagal dihubungi. Mangsa dipercayai telah mengalami kerugian sebanyak RM180,000,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekali gus menjelaskan siasatan menyeluruh akan dibuat termasuk kemungkinan penglibatan keldai akaun.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here