Pembantu tadbir didakwa 22 pertuduhan terima rasuah

0
165

SEORANG pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, pada Rabu atas 22 pertuduhan menerima rasuah sebagai upah menawarkan kerja pembaikan kenderaan jabatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson antara tahun 2018 hingga 2020.

Tertuduh, Norashikin Mohamed Hussin, 37, yang hadir ke mahkamah dengan memakai niqab bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu sebagai pembantu tadbir (perkeranian operasi) Gred N19 yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson, didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki yang keseluruhan berjumlah RM18,363.

Ia didakwa sebagai upah kepada tertuduh kerana menawarkan kerja pembaikan kenderaan jabatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson di dalam sistem e-Perolehan ( Pelawaan Tawaran Harga ) kepada syarikat yang diurus lelaki berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 4 Disember 2018 hingga 8 Julai 2020 di daerah Port Dickson. Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1).

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan lapor Sinar Harian.

Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersetuju menerima wang sebanyak RM300 tanpa balasan daripada lelaki sama, tertuduh tahu lelaki terbabit merupakan pemilik syarikat yang terlibat dalam kerja pembaikan kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson.

Selain itu tertuduh didakwa atas pertuduhan mengesahkan dokumen yang mempunyai butiran palsu iaitu dokumen pembekalan pembaikan turbo Charger Unit Vektor NBS 564 Nissan Frontier berjumlah RM 2,900 sedangkan kerja tersebut langsung tidak dibuat.

Kesalahan itu dilakukan pada 31 Januari 2020 hingga 3 Februari 2020 di Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here