Jenazah Awang Iskandar dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya Sabtu ini

0
339

JENAZAH pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Lt. Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya Sabtu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata jenazah Awang Askandar telah berada di Base Camp 2 pada 9.30 pagi tadi (waktu Nepal) dan akan dibawa turun ke Everest Base Camp (EBC) menggunakan helikopter.

“Bagi memenuhi hasrat ahli keluarga, jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Papar, Sabah pada hari sama tiba di Kota Kinabalu iaitu jangkaannya pada Jumaat atau selewat-lewatnya Sabtu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Ramah Monsun Barat Daya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, yang mempunyai ketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Armizan berkata kerajaan memberikan komitmen penuh dari segi kewangan kepada proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta ME 2023, Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang selepas itu.

“Proses SAR Muhammad Hawari masih diteruskan sehingga kini. Kerajaan tidak akan berhenti berusaha, namun kos pencarian agak tinggi seperti penggunaan helikopter dan bayaran malim gunung,” katanya.

Muhammad Hawari merupakan pendaki orang kurang upaya (OKU) ME 2023, dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak ketika dihubungi memaklumkan jenazah Awang Askandar kini telah tiba di (EBC) dan jenazah difahamkan akan diterbangkan ke hospital di Kathmandu bagi urusan selanjutnya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here