Penyokong muda UMNO tiada masalah sokong calon DAP – Hairi

0
126

PENYOKONG muda UMNO tidak mempunyai masalah mengundi calon DAP pada PRN kerana tidak lagi terikat sentimen “Cina rasis” dimainkan generasi terdahulu kerana golongan itu kini “celik politik”.

Naib Ketua Pemuda UMNO Hairi Mad Shah, berkata pelbagai sentimen negatif membelenggu generasi lalu dilihat semakin pudar selepas Umno dan DAP bekerjasama.“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (undi calon DAP). Ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamik baharu.

“Undi memang rahsia, tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik. Jadi, biarlah mereka mengundi calon yang tujuannya untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan.

“Sentimen yang dimainkan generasi terdahulu seperti ‘Melayu rasis, Cina rasis’ itu sudah hilang selepas kita bekerjasama. Kini, masing-masing dilihat memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, generasi muda termasuk penyokong UMNO kini berdepan dinamik politik baharu berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

Beliau yang juga Exco Belia dan Sukan Johor berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahmad Maslan, yang menggesa penyokong UMNO mengundi calon DAP menjelang PRN.

Hairi berkata, parti pembangkang juga tidak perlu menjadikan isu terbabit sebagai “isu politik”.

“Kini, semua parti politik sudah pernah bekerjasama. Dahulu, Bersatu dan Pas sendiri bekerjasama dengan DAP, ketika itu UMNO tidak cakap apa-apa.

“Hari ini, Bersatu dan Pas bercakap tentang UMNO dan DAP pula, sedangkan dahulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi, bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here