‘Masalah Kelantan sejak PM sekarang jadi menteri kewangan dahulu’ – Hadi

0
157

TAN Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengecam pihak yang “meremehkan” perjuangan PAS sehingga parti itu didakwa tidak mempedulikan kebajikan rakyat termasuk berkaitan bekalan air bersih, kediaman dan barangan keperluan harian.

Tanpa menyebut sebarang nama, presiden PAS itu menyalahkan Datuk Sri Anwar Ibrahim kerana menjadi punca kerajaan negeri terbabit disekat daripada menerima bantuan dari pusat.

Katanya kesukaran tersebut berlaku ketika PAS gigih berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan.

“Akan tetapi, PAS menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan pusat, bermula dengan Kelantan, sejak zaman perdana menteri sekarang menjadi menteri kewangan sehingga kini.

“Urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati,” katanya.

Abdul Hadi menyatakan pandangan itu dalam kenyataan dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Untuk rekod Anwar mula menjadi menteri kewangan pada 1991 ketika dia berstatus naib presiden Umno. Dia menggantikan tempat yang sebelum itu diisi Tan Sri Daim Zainuddin.

Tak buat pada Singapura

Dia kemudian menjadi timbalan presiden Umno sekali gus timbalan perdana menteri dan kekal menjawat tugas tersebut sehinggalah dipecat dari parti dan kerajaan pada 2 Sept 1998.

Perdana menteri di sepanjang tempoh itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang sama menggerakkan inisiatif Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini.

PAS mula menguasai kerajaan Kelantan sejak 1990.

Menurut Abdul Hadi royalti petroleum kepada negeri Kelantan dan Terengganu dinafikan Putrajaya, namun tidak begitu keadaannya apabila membabitkan Sabah serta Sarawak.

Justeru bekas duta khas bertaraf menteri itu mempersoalkan jika ketetapan tersebut berpunca daripada “prinsip Islam” yang dilaksanakan PAS di negeri ditadbirnya.

Pun begitu, kata Abdul Hadi, ketika berdepan dengan sumber kewangan terhad PAS membuktikan mereka mampu mentadbir negeri dengan berintegriti serta beramanah.

Masalah yang dihadapi penduduk negeri ditadbir PAS, katanya, juga gagal diselesaikan ketika Umno-BN menjadi kerajaan sebelum ini.

Apabila PAS menjadi kerajaan selepas itu, katanya, parti itu berdepan dengan pelbagai sekatan dan isu birokrasi.

“Mereka (Umno-BN) tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dahulu dan terkini kepada Pulau Pinang,” katanya.

Dia terus mengkritik Anwar – selaku menteri kewangan – kerana gagal membatalkan lesen premis perjudian di Kelantan serta menyekat penjualan arak hanya kepada orang bukan Islam seperti dilaksanakan PAS pada 1990.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here