Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

0
216

GENG Ayoi yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal tumpas susulan penahanan tiga lelaki secara berasingan di Setapak dan Gombak pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 24 hingga 32 tahun.

Susulan itu kata Ahmad Sukarno, pihaknya berjaya menjumpai 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

“Kumpulan penjenayah itu disyaki membuang rangka motosikal ke dalam sungai adalah untuk menghapuskan bukti.

“Hasil semakan nombor casis oleh forensik Polis Diraja Malaysia, pihaknya telah mengenal pasti 10 rangka motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

“Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah dikacau ganggu,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135.

“Setelah sesebuah motosikal dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal terbabit.

“Kesemua motosikal yang telah dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal,” jelasnya.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Kita telah berjaya menyelesaikan 23 kes kecurian motosikal, di mana 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

“Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here