Belanjawan Rumah Terbuka Madani di tiga negeri melebihi RM6 juta

0
147

KERAJAAN membelanjakan lebih RM6 juta untuk menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di tiga negeri iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, acara itu menelan kos sebanyak RM3.1 juta di Kedah, manakala acara yang sama di Kelantan dan Terengganu masing-masing melibatkan kos RM1.5 juta.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan kos sebanyak RM200,000 dalam jawapan tersebut apabila Armizam menyatakan kos keseluruhan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di tiga negeri tersebut ialah sebanyak RM6.3 juta, sedangkan pecahan yang diberikan hanya melibatkan RM6.1 juta.

“Jumlah perbelanjaan ini meliputi semua perkara seperti persiapan tempat, logistik dan perbelanjaan jamuan kepada orang ramai.

“Jumlah kehadiran untuk program di Kedah adalah seramai 25,000 orang, manakala di Kelantan dan Terengganu seramai 15,000 orang pengunjung di setiap negeri,” katanya.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Awang Hashim (Perikatan Nasional-Pendang) yang meminta perdana menteri menyatakan perincian kos Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri.

Dalam pada itu, Armizan turut membandingkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ketika pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob yang menelan kos RM11 juta, dengan kehadiran 70,000 orang.

Menurutnya, berbanding penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun lalu yang diadakan di Seri Perdana, pelaksanaan Rumah Terbuka Malaysia Madani membuka ruang lebih luas untuk membolehkan pemimpin kerajaan bertemu rakyat di pebagai lokasi.

“Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani pada kali ini juga mendapat kerjasama di kalangan Kementerian dan Jabatan Persekutuan termasuk Kerajaan Negeri.

“Hal ini membolehkan kos penganjuran dapat dikurangkan terutamanya dari segi sumber manusia dan keperluan logistik yang lain,” jelasnya, lapor MalaysiaKini.

Menurutnya, dalam masa yang sama, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan menjana ekonomi sebagai penyedia perkhidmatan dan makan minum sepanjang majlis berlangsung.

Kerajaan hanya menanggung kos Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala acara yang sama di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Azmizan tidak mendedahkan kos rumah terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Untuk rekod, Rumah Terbuka Aidilfitri pada 2013 yang dihoskan perdana menteri, Najib Razak ketika itu hanya menelan belanja sebanyak RM2.88 juta.

Bagaimanapun ia merupakan peningkatan sebanyak 70 peratus berbanding Rumah Terbuka Aidilfitri ketika Najib menjadi perdana menteri pada 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here