Hadi sifatkan Kerajaan Perpaduan bagai ‘lalang ditiup angin’

0
131

KERAJAAN Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap meraikan semua pihak tanpa sempadan agama, ideologi dan moral atau fitrah manusia.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua perkara tersebut sanggup diketepikan Kerajaan Perpaduan asalkan parti politik di dalamnya mendapat majoriti kerusi. 

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai ‘lalang yang ditiup angin’ selepas berjaya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kerajaannya dipimpin oleh parti yang lebih kecil berprinsipkan pragmatik dan didominasi oleh parti lebih besar yang nyata ideologinya, turut bersamanya kumpulan kecil dan individu yang oportunis. Gerak-gerinya selepas berkuasa laksana lalang yang mengikut tiupan angin. 

“Mereka mengheret rakyat apabila berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang menyeberangi anak sungai dengan meniti kayu reput yang dilalui oleh semut yang berjuta ramainya, atau kaedah politik ciptaan Barat yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara. 

“Pakatan tersebut didominasi oleh DAP yang nyata ideologinya bercanggah dengan Islam, bahkan kenyataannya jelas menunjukkan mereka menentang Islam serta kepentingan Melayu Islam dan bumiputera. Malah, pakatan itu turut disertai oleh parti-parti yang pragmatik tanpa ideologi,” katanya dalam perkongsian di media sosial hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kaedah Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu kalimah Allah juga dilihat bersifat pragmatik.

Tegas beliau, keputusan yang dilakukan kerajaan itu bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah mengikut acuan Islam. 

“Selangor sudah mempunyai keputusan ketika negara dijajah sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman.  Akan tetapi, kerajaan kini melihat dari segi maslahah Kerajaan Perpaduan ciptaannya yang bersifat pragmatik, bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah mengikut acuan Islam. 

“Mereka tidak peduliterhadap sensitiviti umat Islam yang berpandukan agamanya daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan. 

“Hakikatnya, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan raja-raja,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here