Kalimah Allah hanya untuk orang Islam – NGO

0
181

HAMPIR 100 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebagai bantahan terhadap keputusan Kerajaan menarik balik rayuan kes kalimah Allah.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata menjadi tanggungjawab untuk menyatakan pendirian dan solidariti, untuk mempertahankan kesucian nilai agama Islam apabila ia telah disentuh dan diambil ringan oleh pihak kerajaan.

“Isu kalimah Allah adalah isu akidah dan sensitif buat umat Islam. Kami minta kerajaan selesaikan segara isu ini dan berjumpa dengan Majlis Raja-Raja sebelum ia menjadi lebih besar.

“Kalimah Allah adalah hak orang Islam dan tidak boleh digunapakai untuk orang bukan Islam,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di sini, hari ini.

Penasihat Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad

Selain Shah Alam, bantahan turut diadakan selepas solat Jumaat di beberapa negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu dan Utara tanah air iaitu Pulau Pinang dan Kedah.

Sementara itu, Penasihat Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya akan tegas memastikan kesucian kalimah Allah terpelihara untuk umat Islam.

“Kami harap Majlis Raja-Raja segera bersidang demi memelihara kesucian kalimah Allah ini. Kerajaan perlu teruskan kes ini di mahkamah dan perjuangkan kalimah Allah hanya untuk orang Islam sahaja.

“Kami juga akan adakan ‘roadshow’ secara besar-besaran jika isu ini tidak diambil serius seperti kes Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ini. Kita tidak mahu perkara ini berulang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Penarikan rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Hampir 100 NGO termasuk golongan muda terlibat dalam demonstrasi aman membantah penarikan rayuan oleh kerajaan dalam isu Kalimah Allah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here