Pulau Pinang bubar DUN hujung Jun

0
123

PULAU Pinang tetap dengan perancangan awal untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung bulan Jun ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keenam-enam negeri yang perlu mengadakan PRN sebelum ini mempunyai persetujuan untuk membubarkan DUN masing-masing pada dua minggu terakhir Jun.

Namun, jelasnya, setiap negeri mempunyai pertimbangan mengenai waktu yang sesuai untuk membubarkan DUN masing-masing bergantung kepada majlis-majlis dan acara kerajaan di-negeri-negeri tersebut.

”Pulau Pinang tetap dengan plan asal kita iaitu bubarkan DUN pada minggu akhir Jun, sama ada minggu ketiga atau minggu keempat Jun,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di Georgetown hari ini.

Pada PRU-15, enam negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.

Tempoh tamat penggal DUN Pulau Pinang berakhir pada Ogos 2023 jika dikira berdasarkan hari pertama persidangan DUN pada 3 Ogos 2018 selepas PRU-14.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, beliau tidak pernah berkonfrontasi dengan Kerajaan Negeri Kedah berkaitan isu air termasuk dalam kejadian penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak baru-baru ini.

Jelasnya, sesiapa sahaja yang sering mengikuti sidang akhbar atau apa sahaja kenyataannya akan sedia maklum yang mana beliau tidak pernah mengkritik Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu terbabit.

”Bila kenyataan saya kritik Kedah atas kejadian ini (penuruan paras Sungai Muda), orang lain konfrontasi saya tidak tahu.

”Malah, saya juga minta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) siasat bagi mendapatkan kepastian apa yang berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang menyeru Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menghormati dan tidak lagi berkonfrontasi dengan Kedah berkaitan isu air.

Menurut Muhammad Fauzi, ia memandangkan Pulau Pinang bergantung kepada bekalan air dari Sungai Muda yang terletak di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Kedah menerusi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Pengurusan Lembangan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ahad lalu, pengguna air di beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air susulan penurunan mendadak paras air Sungai Muda awal pagi hari tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here