Umno yang menumpang, kami ‘pungut’ lepas tewas PRU14, bendahari PAS jawab Puad

0
118

UMNO sebenarnya yang menumpang parti lain kerana hanya memiliki 26 kerusi Parlimen dan hilang kuasa bukannya PAS, kata seorang pemimpin parti itu.

Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, menegaskan perkara itu bagi menjawab tuduhan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi, konon parti itu sendiri mencari peluang untuk menumpang rumah orang lain demi kuasa.

“Puad perlu sedar dengan realiti siapa yang sebenarnya menumpang kerana Umno hanya memiliki 26 kerusi Parlimen walhal Pakatan Harapan 82 kerusi,” katanya, lapor FMT.

Iskandar turut memaklumkan hubungan ahli akar umbi PAS dan Umno masih baik sambil mendakwa ahli parti tidak bersetuju Umno bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan.

Katanya, sebelum ini PAS “memungut” Umno yang berada dalam keadaan terdesak selepas Barisan Nasional (BN) tumbang dalam PRU14 sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional (MN).

“Puad Zarkashi perlu mencermin diri sendiri sebelum menuduh PAS menumpang rumah orang lain. Umno kehilangan kuasa di peringkat pusat buat pertama kali dalam sejarah.

“PAS ‘memungut’ Umno yang berada dalam keadaan terdesak dan mengalami trauma,” katanya.

Iskandar berkata, pemimpin Umno seperti Puad mungkin sudah lupa ketika MN ditubuhkan pada 2019, parti Melayu utama itu baru sahaja mengalami kekalahan teruk pada PRU14 sebaliknya PAS berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan dan merampas Terengganu.

“PAS hanya mementingkan perpaduan ummah dan bukan jawatan dalam kerajaan. Justeru PAS tidak terdesak atau kempunan untuk menjadi kerajaan,” katanya

Semalam Puad berkata, tiada pihak yang mahu menjadikan PAS sebagai rumah tumpangan sebaliknya parti itu sendiri mencari peluang untuk menumpang rumah orang lain demi kuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here