Mahkamah: Keputusan permohonan Rosmah batalkan kes rasuah solar pada 22 Jun

0
104

DATIN Sri Rosmah Mansor akan mengetahui pada 22 Jun jika mahkamah memberi kebenaran terhadap permohonannya untuk meneruskan cabaran undang-undang bagi membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah hari ini menetapkan tarikh keputusan rayuan isteri bekas perdana menteri Datuk Sri Najib Razak yang kini meringkuk di penjara, lapor MalaysiaKini.

Awal pagi ini, panel hakim, yang turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun, mendengar hujahan lisan daripada pasukan peguam Rosmah serta pihak pendakwaan.

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (sivil) di Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lalu yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya.

Dakwanya, dari awal lagi, kes solar itu sepatutnya dibatalkan kerana pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa raya adalah tidak sah.

Pada 1 Sept tahun lalu, Mahkamah Tinggi (jenayah) di Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dalam kes rasuah itu, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah itu ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 22 Jun tahun ini.

Sekiranya Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran, semakan kehakiman Rosmah akan dikembalikan semula kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh meritnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid menolak kebenaran kepada Rosmah selepas dia membenarkan bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan, yang merupakan dua responden yang menjadi sasaran dalam semakan kehakiman itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here