[VIDEO] Manfaat geran penyelidikan MASA besar – Penyelidik

0
697

PENYERTAAN kali pertama bertajuk Food Security Resiliency Building a Sustainable Food Security -Land Use Framework ternyata membawa tuah buat Dr Maria Mohd Ismail,33, dari Jabatan Sains dan Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) apabila terpilih sebagai salah seorang penerima geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Memilih tanah sebagai sumber alam untuk diterokai dalam penyelidikannya bersama empat rakan lain, Maria berkata dia mahu membuka mata masyarakat mengenai penggunaan tanah sebaik mungkin.

“Secara asas tanah adalah tempat untuk menanam sumber makanan padi di Malaysia. Saya mahu ambil langkah proaktif mengoptimumkan penggunaan tanah sebaik mungkin untuk tujuan penanaman keselamatan makanan di negara ini.

“Kita ambil contoh ketika pandemik. Kita tidak perlu bergantung kepada negara jiran sedangkan kita ada kepakaran selain teknologi yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya kepada SatuBerita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis penyerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA di Hotel Tamu Kuala Lumpur pada Rabu.

Majlis penyerahan geran penyelidikan pembangunan MASA itu disempurnakan, Pengerusi MASA, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin.

Bagi Dr Nurussaadah Mokhtar, 42, dari Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) UM, penyelidikan bertajuk Developing A Comprehensive Stakeholder and Supply Chain Ecosystem Mapping of Malaysian Poultry Industry membawa tuah buat dirinya apabila terpilih sebagai salah seorang penerima geran.

Biarpun sebelum ini pernah beberapa kali menerima geran dengan jumlah yang lebih besar, namun geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) lebih memberi makna buat dirinya.

“Lebih bermakna kerana wakil dari MASA seperti ahli akademik dan penyelidik turut serta melihat hasil kerja kami.

“Dalam erti kata lain, mereka tahu apa mereka mahu dan perlu dari kami penerima geran dan ini benar- benar memberi motivasi,” katanya.

Bagi Dr Chang Chee Fei, 48, dari Universiti Sunway pula berkata, beliau tidak menyangka permohonannya akan diterima memandangkan dia dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Lazimnya peluang untuk universiti swasta agak ‘tipis’ kerana bersaing dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

” Tetapi sudah tertulis rezeki. Saya tidak sangka dan gembira apabila terpilih sebagai salah seorang penerima geran,” katanya.

Chang yang membuat penyelidikan bertajuk Relieving Impacts of Climate Change -Inflicted Flood Disasters on Small and Medium Enterprises Through Taxation Systems berkata fokusnya lebih kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME).

“Fokus saya lebih kepada sistem percukaian dan bagaimana mahu membantu golongan SME terutama yang terjejas disebabkan perubahan iklim seperti banjir, kebakaran dan sebagainya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here