PN hampir muktamadkan pembahagian kerusi untuk 6 PRN

0
131

PERIKATAN Nasional (PN) sudah hampir memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbincangan mengenai perkara itu juga akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadual berlangsung pada 23 Mei ini.

“Saya sudah arahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan (pembahagian kerusi). Mereka ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.

“Ada satu, dua kerusi saja lagi dan apabila ini sudah selesai, kita akan tahu ia milik siapa. Kemudian kita akan minta senarai nama bakal calon bersesuaian untuk diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.

BH sebelum ini, melaporkan agihan kerusi PN bagi menghadapi PRN sudah selesai kira-kira 85 hingga 90 peratus.

Ia dimaklumkan Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menjelaskan persetujuan itu dicapai selepas rundingan diadakan antara kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN.

Sementara itu, Muhyiddin mengakui gabungan berkenaan sudah memiliki calon Menteri Besar yang akan dinamakan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, jika PN berjaya merampas tampuk pentadbirannya daripada Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, katanya, perincian mengenai calon berkenaan tidak akan didedahkan kepada umum sehingga PN berjaya meraih kemenangan di negeri berkenaan.

“Kita ada beberapa nama (calon Menteri Besar di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan), tetapi ia tidak akan dibincangkan kepada umum. Bagi saya yang penting ialah selesaikan isu pembahagian kerusi dan calon yang akan bertanding.

“Pasti akan sampai masa sesuai untuk bincangkan siapa bakal Menteri Besar, tetapi ia mungkin tak perlu kita umumkan.

“Lepas PRN nanti… kalau kita sudah menang dan siapa yang layak serta diperkenankan sultan, dialah Menteri Besar (di negeri berkenaan),” katanya lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here