Ibu didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 anak lelaki

0
153

IBU kepada lima anak didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya pada November tahun lalu.

Wanita yang berusia 33 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya yang berusia 14 dan 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah unit pangsapuri di Alam Perdana, Puncak Alam kira-kira jam 8 malam November 2022.

Wanita itu didakwa melakukan Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengarahkan pembuatan suatu pornografi kanak-kanak dalam bentuk video terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun (ketika kejadian).

Perbuatan itu dilakukan wanita berkenaan di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh pada jam 2 pagi, Februari 2022.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri dan Nurul ‘Izzati Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mangsa adalah kanak-kanak dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula ditetapkan pada 26 Jun ini.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang penarik kereta berusia 22 tahun yang juga kenalan wanita berkenaan didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun.

Tertuduh, Haddad Radhi, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh kira-kira jam 2 pagi, Februari 2022.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati tidak membenarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang diwakili peguam,

Mohd Azali Ibrahim memohon jaminan diberikan terhadap tertuduh dengan alasan lelaki itu mempunyai seorang anak yang masih kecil serta isteri yang sedang mengandung.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan tertuduh perlu melaporkan diri ke Balai Polis pada setiap bulan dan tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here