Parti politik memang berasas kaum…Guan Eng nak nafi apa – Sanusi

0
317

ASAS penubuhan parti politik di negara ini sememangnya berasaskan kaum, oleh itu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dinasihatkan tidak perlu ‘berpencak silat’ seolah-olah beliau tidak pernah mempraktikan politik perkauman sebelum ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu tidak perlu dinafikan kerana realiti sebenar dunia politik negara sememangnya begitu.

Sebagai contoh katanya, MIC ditubuhkan untuk kaum India, MCA untuk kaum Cina, UMNO untuk Melayu manakala Pas pula untuk Islam.

“Asasnya memang macam tu manakala DAP pula parti cauvinis ekstremisme Cina. ‘Pi’ tengok deklarasi Setapak ketika DAP ditubuhkan pada 1969 dan itulah parti DAP. Jadi nak nafi apa? Memang parti-parti politik ditubuhkan atas platform kaum dan agama. Jadi tak payahlah berpencak silat seolah-olah beliau tak praktikkan politik perkauman. Kita kenal beliau lama dah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) di Menara BDB, Alor Setar.

Menerusi kenyataan dibuat semalam, Guan Eng menggesa rakyat Malaysia supaya beramai-ramai membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi bagi menamatkan politik pecah belah, pelampau dan perkauman.

Menurut Guan Eng, jenama politik pemimpin PAS tersebut mengancam perpaduan dan integrasi nasional.

Guan Eng juga mendakwa Abdul Hadi begitu terdesak untuk mengacau, menggugat kestabilan malah memusnahkan kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga terus menyasarkan golongan bukan Islam dan bukan Melayu secara terbuka.

Sementara Muhammad Sanusi turut menempelak Guan Eng berhubung gesaannya agar rakyat Malaysia membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi.

“Guan (Eng) kira nak buat laporan polis saja. Sepatutnya kenyataan politik, selesaikanlah di medan politik dengan beliau boleh membuat kenyataan balas. Itulah eksesais politik. Kalau kita buat satu eksesais politik tapi beliau nak selesaikan hingga ke polis dan mahkamah, tak payah main politiklah,” katanya lapor Warta Rakyat.

Ditanya dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu Md. Nor bahawa Pas tidak mustahil akan kembali membentuk tahaluf siyasi bersama DAP dalam masa terdekat, Muhammad Sanusi berkata Ahli Parlimen Kota Raja itu suka berangan-angan.

“Beliau ini suka berangan-angan, berhalusinasi dan itulah Mat Sabu. Beliau baru-baru ini pun kata saya ‘loq-laq’. Memang saya ‘loq-laq’ tetapi saya tak biasalah kena cekup ,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here