‘Melayu desa sokong dasar PN yang bersih, inklusif’

0
129

DASAR PN yang dikatakan “menggalakkan perpaduan” di kalangan rakyat Malaysia menjadi antara sebab orang Melayu pedesaan menyokong gabungan itu.

Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan Mahathir Mohd Rais berkata gabungan itu juga percaya jika mereka mentadbir negara maka keadaan akan lebih stabil dari segi politik.

“Sebagai sebuah parti, PN berusaha mewujudkan dasar inklusif dan menegakkan amalan politik yang lebih bersih berbanding parti lain.

“Pendekatan ini mendapat sambutan ramai orang Melayu luar bandar, yang percaya bahawa kerajaan yang dipimpin oleh PN akan memupuk iklim politik yang lebih stabil untuk negara,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Mahathir berkata demikian dalam cubaannya untuk membezakan corak pentadbiran PN jika menjdi parti pemerintah berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang didakwanya berisiko mencetuskan ketegangan kaum apabila menyasarkan taikun Melayu.

Ini selepas Anwar mencabar hartawan Melayu yang memperjuangkan hak Melayu supaya menyumbangkan separuh keuntungan mereka untuk membantu golongan miskin dalam masyarakat itu.

Mahathir berkata tindakan Anwar menyasarkan taikun Melayu ini membimbangkan, mendakwa orang Melayu hanya mewakili “sebahagian kecil” golongan kaya Malaysia.

Mahathir juga berkata memandangkan terdapat individu daripada semua kaum yang bekerja keras menyumbang kepada kemajuan Malaysia, tumpuan terhadap golongan kaya sepatutnya merangkumi semua latar belakang etnik.

Kata Mahathir lagi, amat penting untuk menyokong usaha mengejar kemakmuran dan kesaksamaan masyarakat dengan mengambil kira cabaran sejarah yang dihadapi oleh orang Melayu.

“Teguran perdana menteri berisiko mencetuskan konflik dalam masyarakat dan menghakis perpaduan sosial yang dibina dengan susah payah selama ini dengan memperlekehkan pencapaian pemimpin dan taikun Melayu.

“Ketika kita menghampiri ulang tahun tragedi insiden 13 Mei dalam masa dua hari sahaja, ia adalah peringatan yang nyata tentang akibat buruk daripada ketegangan dan perpecahan kaum.

“Bab gelap dalam sejarah ini seharusnya memberi inspirasi kepada pemimpin politik untuk menggalakkan keharmonian dan keterangkuman daripada mengasingkan kumpulan etnik tertentu ketika rakyat Malaysia berkumpul untuk mengingati nyawa yang terkorban dan pengajaran yang diperoleh,” katanya lapor Malaysiakini.

Kenyataan ketua bahagian PN itu juga dibuat beberapa hari selepas pemimpin tertinggi gabungan itu Abdul Hadi Awang menuduh bukan Islam dan bukan Melayu “yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai yang kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah.”

Presiden PAS turut menyelar orang Melayu yang bekerjasama dengan orang bukan Melayu dan bukan Islam ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here