Rasuah: 2 bekas ketua pengarah syarikat direman

0
106

DUA bekas ketua pengarah sebuah syarikat swasta berkaitan industri getah direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima rasuah lebih RM100,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek pembelian mesin dan pembekalan barang.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd
Dinie Shazwan Shukor terhadap suspek berusia 80-an selama tiga hari mulai sehingga 12 Mei ini manakala seorang lagi suspek berusia 45 tahun, direman empat hari sehingga 13 Mei ini.

Perintah reman itu dikeluarkan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan terbabit pada pagi tadi di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 9 malam tadi, selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek masing-masing dipercayai meminta daripada kontraktor wang suapan berjumlah kira-kira RM83,000 dan RM50,000 bagi tujuan kontraktor mendapatkan projek pembelian mesin pemotong serta barangan perindustrian getah, antara tahun 2019 hingga 2020.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here