Suspek militan Malaysia mahu dakwaan dihenti atas alasan ‘salah laku’ AS

0
129

DUA rakyat Malaysia yang didakwa melakukan keganasan berkait pengeboman Bali pada 2002 memfailkan usul untuk membatalkan tuduhan itu atas alasan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyediakan jurubahasa tidak cekap dan berat sebelah.

Brian Bouffard, peguam mewakili dua rakyat Malaysia itu berkata, anak guamnya diberikan tiga jurubahasa sama, walaupun terdapat bantahan jurubahasa itu tidak cekap dan berat sebelah.

Bouffard mewakili Nazir Lep dan Farik Amin dari Malaysia, bersama seorang warga Indonesia, Hambali.

“Beberapa usul lain turut difailkan berkaitan tindakan kerajaan terus melengahkan kes itu.

“Kami sedang menunggu keputusan mengenai usul kami untuk menolak kes itu kerana salah laku kerajaan berhubung jurubahasa. Kami berharap dapat mendengar sesuatu dalam masa beberapa minggu.

“Jika bukan kerana keputusan AS untuk menyeksa banduan dan mengklasifikasikan semua bukti menunjukkan penderaan tidak terkata yang dilakukan terhadap mereka di Guantanamo, kes-kes ini sepatutnya selesai bertahun-tahun lalu,” katanya memetik laporan FMT.

Nazir, Farik dan Hambali yang nama sebenarnya Encep Nurjaman, berdepan lapan pertuduhan bersama, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang meragut 202 nyawa di Bali pada Oktober 2002 serta pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke kurungan bersendirian di tapak rahsia yang dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Dalam perbicaraan sebelum ini, mereka membantah jurubahasa yang disediakan atas alasan seorang daripadanya adalah bekas jurubahasa dengan hak kerahsiaan peguam-klien yang menimbulkan konflik kepentingan.

Seorang lagi bekas penterjemah sulit untuk ketiga-tiganya, dan yang ketiga menyatakan dia mahu ketiga-tiga tertuduh dibunuh dalam tahanan kerana kerajaan membuang masa serta wang dengan membicarakan mereka.

Dalam perbicaraan yang bermula Isnin lalu dan ditangguhkan pada Rabu di Mahkamah Tentera AS di Guantanamo, Brian berkata, pihak pembelaan menghabiskan kebanyakan masa menjelaskan bagaimana kelewatan tidak perlu itu merugikan anak guam dan ahli keluarga mereka.

“Beberapa ahli keluarga mangsa pengeboman Bali hadir untuk memerhati dan mereka turut kecewa dengan kelewatan tidak berkesudahan itu. Nampaknya, kerajaan AS satu-satunya pihak yang mahu mengheret dan menangguhkan penyelesaian kes ini.

“Bagi perbicaraan seterusnya, kami meminta tarikh pada Disember, tetapi kerajaan mahu ia diadakan pada 2025. Kami sedang menunggu keputusan mengenai perkara ini juga,” katanya.

Ahli keluarga empat mangsa terbang dari United Kingdom untuk menghadiri perbicaraan itu buat kali pertama.

Menurut penyiar Australia 7 News, seorang saudaranya kecewa selepas Hambali, yang dilaporkan dalang pengeboman itu, dilihat ketawa terbahak-bahak di mahkamah sambil berbual dengan tertuduh lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here