“Jadilah seperti ‘seluang’ yang tak boleh dipancing,” Hadi beritahu ahli Pas

0
121

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua ahli parti itu khususnya golongan perantau supaya tidak mudah terpengaruh dengan ‘umpan’ yang ditabur parti lawan demi menarik undi mereka dalam pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, mengambil contoh ikan seluang, sikap spesies ikan kecil yang dibenci kaki pancing itu wajar dijadikan teladan supaya mereka tidak terjerat dengan umpan yang dipasang.

Ini kerana katanya, ikan bersaiz kecil itu hanya memakan umpan dan meninggalkan mata pancing sebelum sempat dimakan ikan besar yang mahu ditangkap.

Beliau menjelaskan, ini menyebabkan pemancing sangat kecewa dengan gangguan ikan kecil itu yang menghabiskan umpan tanpa memperoleh sebarang hasil.

“Ada pun ikan besar yang rakus memakan umpan mestilah mudah ditangkap, kerana pelahap sehingga termakan mata pancing.

“Akhirnya, ia dimasak atau dijual untuk dimasak menjadi makanan,” katanya menerusi ruangan Minda Presiden di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, ingatan disuarakan beliau itu sama seperti pesanan pernah disampaikan bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Almarhum mendidik rakyat Kelantan dengan kata-katanya yang terkenal – bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil, namun tetap undi bulan (Pas).

“Bersama slogan ini Pas berjaya menawan Kelantan dan mempertahankannya sehingga berjaya menawan Terengganu dan Kedah serta akhirnya Perlis.

“Ia laksana seluang yang memakan umpan, lalu meninggalkan mata pancing yang kosong,” katanya.

Menyentuh isu pengundi, Hadi berkata kisah seluang itu terpakai bagi golongan perantauan yang pulang menggunakan kenderaan dan tiket yang dijadikan umpan oleh parti lawan, sehingga ada yang terpaksa memasang bendera parti lawan yang menyumbang duitnya.

Bagaimanapun beliau berkata undi golongan perantau itu tetap tidak boleh dipancing parti lawan.

Sementara itu, Hadi berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama akan menjadi ujian keinsafan seperti yang dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, walaupun anak muda yang dianggap mentah belum sempurna pelajarannya, tetapi meletakkan akalnya dijunjung di kepala menegakkan maruah agama, umat dan negara mengikut acuan Allah dengan meletakkan harga diri manusia berpandukan akal, dan kebijaksanaannya tidak boleh dibeli dan ditipu dengan mudah.

“Dalam pada itu, ada kalangan mereka yang berilmu dan berijazah berjela-jela panjangnya dan banyak senarai gelarannya, tetapi meletakkan akal ke dalam perutnya….sifat yang tidak sepatutnya berada pada orang-orang yang beriman,” katanya.

Jelas beliau, kesilapan politik akan merosakkan agama, umat dan negara yang pasti lebih besar akibatnya.

“Sesungguhnya, adalah sangat memalukan apabila dibandingkan manusia yang tidak menggunakan akal dan ilmunya dengan betul bersama binatang yang tidak berakal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here