Persatuan Peguam Komanwel kritik langkah SPRM siasat Nazlan

0
139

SIASATAN yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga menerima kritikan Persatuan Peguam Komanwel (CLA).

Persatuan perundangan terkemuka itu menyifatkan tindakan SPRM menyiasat Nazlan sebagai sama dengan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman dan melanggar kod etika kehakiman yang tidak berada bawah bidang kuasa agensi tersebut.

“Isunya kini res judicata,” kata surat terbuka itu, lapor Agenda Daily.

CLA juga berkata keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang diputuskan oleh tiga peguam iaitu Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai menunjukkan dakwaan terhadap Nazlan tiada mempunyai merit.

CLA juga melahirkan kebimbangan langkah SPRM membuat pengumuman awam berhubung penyiasatan dan penemuannya terhadap Nazlan, dengan CLA berhujah tindakan sedemikian adalah sama dengan pencabulan besar terhadap aspek pemisahan kuasa.

Walaupun SPRM ditugaskan untuk memerangi rasuah di Malaysia, CLA mencadangkan penyiasatan sedemikian terhadap hakim yang sedang bersidang boleh memberi kesan buruk terhadap badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Sebagai sebuah kerajaan, adalah penting bagi eksekutif untuk menghormati, melindungi dan menegakkan kebebasan badan kehakiman, yang merupakan tonggak utama pentadbiran keadilan.

“Badan kehakiman mesti kekal bebas, tidak berat sebelah, dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan atau paksaan terutamanya oleh eksekutif,” kata surat itu lagi.

CLA menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kebebasan kehakiman, mengingatkan beliau berhubung kepentingan mempunyai hakim yang bebas menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut untuk memihak.

Surat bertarikh 20 April itu ditandatangani oleh Presiden CLA Peter Maynard KC.

Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan terhadap Nazlan atas dakwaan beliau menerima RM1 juta daripada sumber yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya daripada ahli perniagaan buruan dan dalang skandal 1MDB, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Nazlan membuat laporan polis untuk menentang dakwaan blog itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here