Dipelawa sertai Bersatu, Khairy belum beri jawapan

0
154

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menunggu keputusan Khairy Jamaluddin untuk tawaran menyertai parti itu dan menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN)akan datang.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tawaran itu dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bekas menteri kesihatan itu ke rumah presidennya untuk membincangkan masa depannya dalam politik, selepas dipecat UMNO.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Muhyiddin menawarkan kepada Khairy untuk bertanding atas tiket Bersatu dalam PRN sekiranya masih berminat dalam politik.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat ditetapkan, antaranya beliau perlu menghantar borang sebagai ahli Bersatu terlebih dahulu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan pucuk pimpinan Perikatan Nasional,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu berkata, Khairy belum memaklumkan keputusannya berhubung tawaran itu sehingga kini.

“Beliau meminta sedikit masa untuk membuat keputusan,” katanya sambil menambah beliau secara peribadi mengalu-alukan penyertaan Khairy dalam Bersatu berdasarkan reputasi bekas ketua Pemuda UMNO itu dalam politik.

Tetapi, katanya, Khairy perlu akur dengan keputusan parti akan meletakkan beliau di mana, sama ada Selangor atau Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Bersatu sedia membuka ‘pintu’ kepada bekas pemimpin Umno yang dipecat parti itu, jika mereka mampu memantapkan lagi Bersatu.

Januari lalu, Khairy dan bekas ketua Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar antara beberapa pemimpin UMNO yang dipecat parti itu.

Khairy kemudian mengejutkan banyak pihak dengan menjadi penyampai radio di sebuah stesen radio tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here