Lawan tak ada harapan jika Sanusi jadi poster boy – Ulama Pas

0
140

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus mendapat sanjungan daripada Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas.

Antara yang terbaru datang dari salah seorang tokoh ulama parti itu, Zulkifli Ismail, yang melihat ahli politik terbabit mempunyai visi yang sangat jelas serta begitu berkemampuan.

Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan dengan kepemimpinan Sanusi, musuh politik PN sedar mereka ‘tidak mempunyai sebarang harapan’ lagi untuk mendapat sokongan rakyat.

“Mereka melihat Dato’ Seri Sanusi ni, kalau beliau terus memimpin Kedah sebagai menteri besar, menjadi poster boy dalam pilihan raya yang akan datang ini, mereka (musuh PN) tahu mereka tidak mempunyai sebarang harapan untuk mendapat sokongan rakyat di negeri Kedah dan begitulah juga di negeri-negeri yang lain,” katanya seperti dipetik harakahdaily.

Untuk rekod selain menjadi menteri besar Sanusi merupakan Pengarah Pilihan Raya bagi Pas dan PN di peringkat nasional. Di Kedah Sanusi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang terletak di bawah kawasan parlimen Sik.

Awal bulan ini Mahkamah Rayuan menolak permohonan Sanusi Md. Nor untuk mengetepikan saman fitnah dikemukakan Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.

Mahkamah juga menaikkan jumlah pampasan yang perlu dibayar Sanusi kepada Mahfuz daripada RM50,000 kepada RM120,000 selepas hakim mendapati pemimpin Pas terbabit membuat hantaran berbentuk fitnah.

Pagi semalam Timbalan Pengerusi PN Kedah, M Marimuthu berpendapat populariti Sanusi akan membawa lebih banyak sokongan daripada kalangan pengundi bukan Muslim untuk memenangkan gabungan tersebut dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Kata Marimuthu, Sanusi adalah menteri besar yang disenangi orang ramai dan mudah didekati walaupun pada masa sama dia mengakui terdapat kebimbangan sesetengah pihak mengenai larangan kegiatan perjudian di negeri itu.

Zulkifli turut mengulangi pandangan pemimpin PN yang melihat serangan disasarkan kepada Sanusi berpunca daripada kecemerlangan menteri besar itu mentadbir Kedah.

“Kemajuan Kedah sangat jelas di bawah pentadbiran beliau, kepimpinan yang mempunyai visi dan mempunyai kemampuan, kompentensi untuk melaksanakan visi. Ini ada pada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Sanusi,” katanya.

Tambah Zulkifli, kewibawaan Sanusi jauh berbeza daripada Pakatan Harapan (PH) yang tidak memiliki ciri-ciri yang ada pada menteri besar terbabit.

“Mereka hanya bercakap dan kemudiannya melakukan pembohongan kepada rakyat dan di dalam melaksanakan tugas tidak ada kemampuan, tak ada kompetensi langsung.

“Sehingga mereka dilihat oleh rakyat dalam tempoh 100 hari apa ini gagal untuk mereka memimpin negara kita ini keluar daripada krisis.

“Sehingga pandangan-pandangan rakyat yang dilontarkan kepada mereka tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Itu menunjukkan pemimpin (PH) yang sangat lemah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here