Populariti Sanusi akan tarik pengundi bukan muslim di Kedah – Timbalan PN Kedah

0
170

POPULARITI Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka membawa lebih ramai pengundi bukan muslim menyokong Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Demikian menurut Timbalan Ketua PN Kedah M Marimuthu, yang dilaporkan berkata bahawa ia berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh parti itu baru-baru ini.

“Sanusi (atas) adalah menteri besar yang disenangi dan mudah didekati, walaupun terdapat kebimbangan mengenai larangan 4D (perjudian),” katanya, lapor FMT.

Marimuthu merujuk kepada keputusan kontroversi oleh menteri besar PAS itu mengenakan larangan terhadap operasi semua kedai perjudian di Kedah mulai 2022.

Marimuthu yang juga pemimpin Gerakan berkata PN Kedah menjangkakan untuk meningkatkan undi daripada pengundi bukan Melayu sehingga 15 peratus pada pilihan raya negeri.

Katanya, hampir dua kali ganda daripada jumlah yang diterima PN daripada pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-15 November lalu, iaitu sekitar lapan peratus.

Marimuthu berkata, PN juga menjangkakan populariti Sanusi akan membantu mereka memenangi sekurang-kurangnya 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here