Pukul, bakar anjing, remaja dihukum tujuh sebatan ringan

0
173

SEORANG remaja dihukum tujuh sebatan ringan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kesakitan secara kejam terhadap seekor anjing, bulan lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan Braden Yap Hong Sheng, 19, yang juga orang kena saman (OKS) dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama setahun.

Yap yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 12 April lalu turut dibenarkan ikat jamin RM10,000.

Che Wan Zaidi sebelum menjatuhkan hukuman, berkata mahkamah memandang berat perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan OKS.

“Apa jua ancaman dilakukan oleh anjing itu terhadap kamu (OKS), kamu tidak sepatutnya bertindak kejam hanya kerana sakit hati, sepatutnya kamu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan untuk mereka ambil tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau juga berkata, mahkamah mengambil kira faktor OKS adalah pesalah muda, kesalahan pertama kali dan sudah insaf serta membuat pengakuan bersalah di peringkat awal.

“Mahkamah melihat hukuman penjara tidak sesuai ke atas OKS, namun tanggungjawab mahkamah juga untuk memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam sebagai memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat supaya perbuatan ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” katanya, lapor BH Online.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di hadapan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, jam 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor, Mohd Zamri Shak @ Ishak, manakala OKS diwakili peguam GK Sritharan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei depan untuk pelaksanaan hukuman sebatan ringan itu terhadap tertuduh secara terbuka di Mahkamah Sesyen Jenayah 4, jam 9 pagi.

Mengikut fakta kes, kira-kira 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu, Doktor Veterinar JPV Johor menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas seekor anjing berdasarkan aduan awam berkaitan seorang lelaki memukul dan membakar anjing terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati anjing berada dalam keadaan ketakutan serta terdapat kesan lebam dan terbakar di paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), OKS didapati memukul dan membakar anjing berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here