Kes Sivakumar, Zahid buktikan ‘sikap terpilih’ Anwar

0
174

BERSATU menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim mengamalkan sikap terpilih berhubung usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata penentangan Anwar terhadap rasuah dan salah guna kuasa hanya membabitkan musuh politik saja, tetapi tidak rakan “sekufu”.

“Sikap Anwar terhadap banteras rasuah dan salah guna kuasa memang terpilih. V Sivakumar tidak boleh diambil tindakan kerana hanya disiasat bukan dituduh.

“Tetapi Ahmad Zahid Hamidi dituduh 47 kes pun tak buat apa juga, sementelah lagi nak ambik tindakan dan sebagai timbalan perdana menteri,” katanya, lapor Malaysiakini.

Razali berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang berpendapat menteri sumber manusia itu tidak perlu direhatkan selepas pegawainya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam media melaporkan bahawa perdana menteri berkata, tiada keperluan untuk Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

“Dalam kes khususnya menteri sumber manusia V Sivakumar, itu tak wajar kita berikan apa-apa telahan selain daripada kenyataan yang beliau dipanggil untuk berikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu Razali berkata, usaha untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Anwar sekadar retorik bagi mengaburi mata rakyat.

“Justeru itu penentang terhadap rasuah dan salah guna kuasa hanyalah khusus kepada pesaing politik sahaja tapi kalau terkena rakan sekutu dianggap fitnah.

“Kesimpulannya memerangi rasuah dan salah guna kuasa hanyalah retorik bagi kaburkan rakyat untuk raih undi pilihan raya sahaja,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here