Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

0
152

AHLI Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mendedahkan nombor telefonnya digodam individu tidak bertanggungjawab dengan meminta wang daripada kenalannya.

Menurutnya, kejadian disedari apabila dihubungi rakan kira-kira jam 1 tengah hari pada 11 April lalu ketika berada di rumahnya di Tangga Batu, Melaka.

Katanya, setakat ini lima kenalannya ‘terjerat’ dengan taktik scammer terbabit yang menggunakan lima nombor telefon WhatsApp hingga kerugian ribuan ringgit.

“Asalnya dia (scammer) mengguna profil gambar saya untuk meminjam wang daripada kenalan.

“Kemudian dia gunakan profil rakan saya itu untuk menipu saya pula dengan mengatakan nombor telefon saya digodam dan meminta tangkap layar komunikasi terakhir di Telegram.

“Disebabkan terperdaya saya menghantar tangkap layar komunikasi seperti dimintanya hingga scammer itu dapat mengakses semua nombor dalam telefon saya,” katanya ditemui media di pejabatnya di Tangga Batu.

Menurut Bakri, beliau membuat laporan di Balai Polis Tangga Batu pada 12 April selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Setakat ini, lima kenalan saya sudah memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 hingga RM3,000 ke dalam akaun scammer terbabit dengan dua daripada mereka adalah pegawai bank.

“Saya hairan bagaimana mereka terpedaya tapi rakan beritahu mereka serahkan duit sebab percaya saya,” katanya yang meminta orang ramai berhati-hati jika menerima mesej daripada nombor telefon suspek.

Bakri turut kesal apabila mendakwa scammer terbabit masih bebas menghantar mesej selepas laporan dibuat.

“Sepatutnya SKMM terus halang nombor telefon scammer terbabit apabila terima aduan.

“Jadi, pandangan saya sistem aduan SKMM perlu ditambah baik dan Insya-Allah perkara ini saya akan bawa ke Parlimen selain membuat hebahan menerusi TikTok,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here