Pemandu lori buat pusingan U sebabkan dua maut didenda RM7,000

0
143

SEORANG pemandu lori yang membuat pusingan U sehingga mengakibatkan dua remaja perempuan maut dalam kemalangan bulan lepas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Slim River di Tanjung Malim hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed turut memerintahkan P Yuaraj, 30, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa memandu lori tangki jenis Volvo tanpa pertimbangan munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu dengan cara membuat pusingan ‘U’ di jalan tidak dibenarkan membuat pusingan U.

Kesalahan itu dilakukan di KM121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara di sini pada 10.58 malam, 29 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Ia memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 12 bulan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala Yuaraj diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amani Williams-Hunt.

Yuaraj kemudian membayar denda berkenaan.

Jumaat lepas, polis menahan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut itu berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka pada 11.57 malam.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa yang terkorban Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan pemboncengnya, Nur Nabila Rosdi, 19, menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dalam perjalanan dari Ulu Bernam menuju ke Slim River.

Mangsa tidak sempat mengelak apabila sebuah lori membuat pusingan U lalu terlanggar kenderaan berat terbabit. Mimi Nurwaheeda dilaporkan maut di tempat kejadian akibat digilis lori berkenaan manakala Nur Nabila meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here