Najib bimbang pelaburan 1MDB di luar negara – Saksi

0
148

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan kebimbangannya kepada seorang pegawai bank Singapura mengenai pelaburan 1MDB di luar negara pada 2014.

Kevin Michael Swampillai, bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan BSI Bank cawangan Singapura, memberi keterangan bahawa ia merupakan tanggapannya semasa panggilan telepersidangan Najib dengan salah seorang pegawai bank itu.

Saksi pendakwaan ke-44 itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB.

Menurutnya, bekas menteri kewangan itu berkomunikasi dengan pengurus perhubungan BSI ketika itu Yak Yew Chee berhubung pelaburan berbilion ringgit dalam Bridge Global Absolute Return Fund.

Kevin berkata, dia mendengar panggilan telesidang itu dan mengingati bahawa Najib bertanya mengenai penilaian dana dan meminta dokumen tambahan yang membuktikan nilai sebenar dana luar negara itu.

“Tanggapan saya ialah dia (Najib) bimbang, ini dimaklumkan kepada Yak. Saya tidak tahu sifat kebimbangan tersebut, tetapi ia berkaitan nilai dana (di mana wang 1MDB berakhir),” kata saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Katanya lagi, perbualan itu hanya berlarutan selama lima minit, lapor MalaysiaKini.

Bekas pegawai bank itu menjelaskan bahawa dia memahami kebimbangan itu kerana lazimnya media massa melaporkan isu salah satu daripada dana 1MDB ini yang melalui BSI dan kepada dana pelaburan luar negara seperti Brazen Sky Limited.

Kevin berkata, tanggapannya terhadap kebimbangan Najib adalah mengenai laporan media berhubung dakwaan kaitan antara Brazen Sky dan Good Star Limited yang antara lain didakwa sebagai kenderaan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Saksi itu sebelum ini memberi keterangan bahawa Najib tahu tentang sifat ‘kabur’ pelaburan dana 1MDB melalui BSI dan urusan berterusan Yak dengan Low berhubung urus niaga akaun 1MDB dan syarikat berkaitan lain di bank itu.

Kevin juga sebelum ini memberi keterangan mengenai panggilan telesidang antara Najib dan Yak, tetapi tidak secara terperinci.

Keterangan Kevin menyentuh sebahagian daripada aliran wang 1MDB yang rumit, merangkumi empat fasa yang merangkumi tempoh tiga tahun yang didakwa dikaitkan dengan Najib.

Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pada 23 Okt 2020, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan larangan seumur hidup ke atas Kevin berhubung urusan 1MDB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here