Ada ‘Abang besar’ berselindung di sebalik serangan terhadap Sanusi

0
110

TERDAPAT ‘abang besar’ dikatakan berselindung di sebalik setiap serangan berterusan yang disasarkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Perdagangan Dalam Negeri Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim, bagaimanapun tidak menyebut secara spesifik identiti ‘abang besar; yang dimaksudkan.

Namun, beliau menegaskan serangan demi serangan yang dilancarkan itu seolah-olah menggambarkan ‘abang besar’ berkenaan gentar dengan pelbagai perancangan Kedah yang diterajui Muhammad Sanusi.

Memberi contoh hasrat Kedah membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), katanya ia menunjukkan bagaimana projek bernilai RM7 bilion membabitkan pembangunan Kedah Aerotropolis itu cuba dihalang.

“Mungkin ‘abang besar’ takut dengan cadangan projek KXP, selain permintaan Kedah supaya Pulau Pinang membayar caj air mentah yang diambil negeri itu melalui Sungai Muda.

“Mungkin ini adalah isu yang paling digeruni pihak lawan politik kita terutama di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Bina Darulaman Bhd (BDB) di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar, malam tadi.

Wan Romani berkata, serangan terhadap Muhammad Sanusi juga berlaku disebabkan beliau tokoh yang popular dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN).

Katanya, di sebalik serangan yang tidak masuk akal terhadap Sanusi, pentadbiran negeri tidak akan hilang fokus dalam merealisasikan pelan induk Kedah 2035.

“Sebab itu mereka menyerang Menteri Besar Kedah dari segenap penjuru hanya untuk melukis naratif buruk tentang beliau.

“Malah barisan menteri Persekutuan tertentu tidak menjemput barisan EXCO dan Muhammad Sanusi untuk program mereka di Kedah sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya, lapor BH Online.

Bulan lalu, Sanusi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dihalang hadir ke program kerajaan Persekutuan termasuk semua acara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) berikutan keputusan Kabinet.

Rabu lalu pula, media melaporkan Muhammad Sanusi menegaskan dakwaan mengenai usaha terancang menyingkirkan beliau daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara bukan drama atau cerita rekaan.

Sebaliknya, beliau mendakwa ada surat daripada Kementerian Kewangan yang dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah berhubung apa yang diperkatakannya itu.

Kerajaan Persekutuan bagaimanapun menafikan semua dakwaan dibuat Muhammad Sanusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here