Rangka mayat ditemui dalam beg di perhentian bas

0
205

Sebuah beg berisi rangka mayat wanita berusia dalam lingkungan 25 tahun yang dipercayai mangsa bunuh ditemui di sebuah hentian bas Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), di Kulai, pada Rabu.

Beg berkenaan ditemukan oleh orang awam sebelum melaporkannya kepada pihak polis, kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, Pasukan Forensik kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan terhadap rangka mayat terbabit.

Menurut beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, keadaan mayat didapati reput 50 peratus, dipercayai telah meninggal dunia selama tempoh dua minggu.

“Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, rangka mayat dalam beg berkenaan sukar untuk dikenal pasti jantina, umur dan tempoh kematian.

“Ia berikutan keadaan mayat yang telah mereput lebih 50 peratus pandangan mata kasar dan telah ada ulat.

“Rangka mayat tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu bagi proses bedah siasat.

“Pada Khamis, pakar patologi HSA mendedahkan jantina mayat adalah perempuan berumur anggaran 25 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, bedah siasat turut menemukan kesan kecederaan di bawah kulit bahagian kepala mangsa, namun punca kematian sedang dikenal pasti.

Jelas Beng Yow, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, polis turut mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here