Muda kecam tindakan polis gari, iring pasangan dalam video tular

0
247

LAYANAN polis terhadap gadis berusia 17 tahun yang ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan di Pasir Gudang, Johor pada minggu lalu, disifatkan sebagai tidak beretika.

Pengarah Biro Hak Kemanusiaan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dobby Chew merujuk tindakan polis menggari dan memakaikan pakaian reman terhadap remaja itu, selain pendedahan gambar dan kebenaran untuk dua suspek dirakam dalam keadaan sedemikian.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi penjelasan mengenai tindakan berkenaan.

“Keperluan untuk peraturan dan arahan yang jelas terhadap kumpulan bawah umur dan sebarang salah laku membabitkan pegawai yang terbabit perlu ditangani dengan tegas,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di laman Twitternya.

Semalam, gadis berkenaan dan teman lelakinya berusia 22 tahun yang tular di media sosial kerana disyaki melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan, dibenarkan oleh mahkamah ditahan reman selama dua hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noorfazlin Hamdan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada jam 3.03 petang, 29 Mac lalu di kawasan tempat letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Kelmarin, lelaki berusia 22 tahun terbabit kemudian ditahan di Taman Johor Jaya, manakala gadis berkenaan pula ditahan di Taman Kota Masai, antara jam 4.15 petang hingga 5.15 petang.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu dilaporkan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan polis turut merampas sebuah Perodua Axia berwarna merah dan sehelai baju T berwarna merah dan putih.

Dobby berkata, laporan media bersama paparan gambar suspek bawah umur itu juga dilihat melanggar hak dan kebajikan individu, khususnya berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen 2 akta berkenaan menyebut bahawa kanak-kanak adalah individu yang masih di bawah umur 18 tahun.

“MUDA turut menggesa orang ramai tidak berkongsi imej dan gambar pesalah juvana serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masuk campur dan mengarahkan perkongsian itu ditarik semula kerana ia membabitkan remaja bawah umur,” katanya, lapor BH Online.

Jelasnya, MUDA terkejut dengan penyebaran remaja bawah umur itu walaupun Akta Kanak-Kanak sudah menyebut dengan jelas langkah-langkah yang perlu dipatuhi dalam menangani kes membabitkan pesalah juvana.

Mengikut Seksyen 83A(1), katanya, seorang kanak-kanak tidak boleh digari kecuali membabitkan kesalahan jenayah berat atau tindakan yang melawan penahanan.

“Difahamkan, suspek bawah umur (dalam kes di Pasir Gudang) itu tidak terbabit dalam jenayah berat atau melawan penahanannya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here