Alasan menteri kecuali nikotin dari Akta Racun tak boleh diterima – MMA

0
232

PERSATUN Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan rasa kecewa terhadap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berhubung langkah kerajaan untuk mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

Menurut presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai, Dr Zaliha dalam satu mesyuarat pada Rabu lalu mengakui bahawa keadaan itu bukanlah ideal kerana Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 masih belum diluluskan.

Namun, Dr Zaliha “dengan berat hati” telah meluluskan pengecualian nikotin itu bagi membuka jalan agar cecair vape – termasuk yang mengandungi nikotin – dicukai bermula 1 April.

Selain Dr Zaliha, Muruga berkata wakil MMA, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Kanser Nasional, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Kementerian Kesihatan turut menyertai mesyuarat itu.

“Kami telah mendengar penjelasan menteri dan masih mendapati sebab yang diberikan tidak boleh diterima.

“Kerajaan sepatutnya menunggu satu atau dua bulan lagi untuk Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan dan diluluskan sebelum terus mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

“Faktor kesihatan mesti menjadi keutamaan teratas,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor MalaysiaKini.

Terdahulu, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mewartakan perintah untuk mengenakan duti eksais 40 sen bagi setiap mililiter cecair e-rokok atau gel yang mengandungi nikotin, bermula 1 April.

Pada 31 Mac, Zaliha turut mewartakan perintah untuk meminda Akta Racun bagi mengecualikan nikotin daripada akta tersebut.

Sebelum itu, ia diklasifikasi sebagai racun Kumpulan C dan hanya boleh dijual pengamal perubatan dan farmasi. Pengecualian hanyalah untuk produk untuk berhenti merokok dan tembakau seperti gula-gula getah tembakau (yang dikawal selia di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004).

Menurut laman kesihatan CodeBlue, Zaliha telah menggunakan kuasa sebagai menteri untuk mengambil langkah itu walaupun dengan bantahan Lembaga Racun, iaitu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Racun dan berperanan menasihati menteri.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan didakwa meminta Kementerian Kesihatan mengecualikannya bagi memberi akses kepada pengguna dan pengeluar tempatan untuk mengeluarkan produk berkaitan secara sah.

Risiko golongan bawah umur

Sejumlah persatuan termasuk MMA sebelum ini memberi pringatan bahawa pengecualian tanpa langkah lakawan di bawah RUU kawalan tembakau akan membenarkan sesiapa sahaja, termasuk golongan bawah umur, untuk membeli produk vape yang mengandungi nikotin.

MMA juga mengingatkan yang nikotin adalah bahan yang berbahaya dan mudah mendatangkan ketagihan.

Zaliha berjanji RUU tersebut akan dibawa ke Parlimen pada sidang akan datang.

Dengan pengecualian telah pun diberikan, Muruga berkata kerajaan mesti bertanggungjawab atas keputusan itu dan menunjukkan komitmen ke arah dasar generasi penamat yang menghalang penggunaan dan penjualan produk merokok (termasuk vape) kepada warga yang lahir bermula 1 Januari 2007.

“Ada bukti saintifik berkenaan kesan bahaya vape kepada kesihatan. MMA akan menyokong kerajaan dalam usaha ini.

“Jika kita terlambat dalam menangani isu ketagihan vape yang kian meningkat di negara ini, semua hasil cukai yang dikutip daripada industri vape mungkin tidak cukup untuk membiayai kos perubatan untuk merawat su kesihatan yang disebabkannya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here