Bahaya anjur program politik di sekolah – Penganalisis

0
168

DUA penganalisis berkata, berbahaya membenarkan parti politik menganjurkan program pendidikan politik di sekolah dan universiti kerana iklim politik semasa dalam negara “sudah cukup toksik”.

Mereka berkata, jika program seumpama itu dibenarkan di sekolah, ia pasti akan membabitkan ketua sekolah dan guru, yang diketahui aktif dalam politik, dan ini akan menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak menentu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata parti politik boleh menggunakan guru untuk mempengaruhi pelajar bagi menyokong mereka.

“Program seumpama ini memerlukan ahli politik dan guru matang yang akan menjauhi indoktrinasi pelajar,” katanya.

Beliau berkata, lebih baik mendidik pelajar mengenai prinsip demokrasi dan integriti daripada membenarkan ahli politik menjalankan program di sekolah.

Awal minggu ini, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh dilaporkan berkata, sayap itu bercadang menganjurkan program untuk pelajar sekolah menengah dan universiti bagi meningkatkan kesedaran politik mereka.

Katanya, program seumpama itu penting untuk mempersiapkan mereka yang layak mengundi pada PRU akan datang. Tahun lalu, mereka yang berumur 18 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi di bawah undang-undang Undi18.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyuarakan kebimbangan sama dengan berkata, parti boleh menyalahgunakan guru yang cenderung politik dengan mudah.

Katanya, cadangan Pemuda Umno itu berdasarkan “penilaian salah”.

“Politik adalah sesuatu yang anda tidak boleh ajar pada usia sebegitu. Kematangan dalam politik hanya boleh dicapai selepas melalui kehidupan kolej dan berada dalam persekitaran kerja serta situasi kehidupan sebenar.” katanya, lapor FMT.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, tidak wajar pelajar di semua peringkat didedahkan secara langsung kepada politik mengikut cara disarankan.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singnon, berkata pelajar Tingkatan Enam kini diajar tentang demokrasi, pilihan raya dan kepentingan memilih pemimpin betul, dengan teras subjek itu mengenai pilihan raya, bukannya politik.

“Mereka juga didedahkan kepada amalan demokrasi melalui pemilihan pemimpin pelajar. Tidak sihat untuk membawa ahli politik masuk ke sekolah untuk mengadakan program sedemikian.”

Khamis lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, walaupun bersetuju dengan idea mengadakan program pendidikan politik di sekolah menengah dan universiti, parti politik tidak seharusnya terlibat, memetik indoktrinasi terhadap pembangkang oleh Biro Tatanegara Negara dahulu.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, jika pendidikan politik dilihat melalui kaca mata politik, “maka hancurlah kita”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here