Penyanyi Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

0
135

PENYANYI Jason Lo kekal bebas atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo daripada pertuduhan itu.

“Rayuan pihak pendakwaan diketepikan dan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan responden (Jason Lo) dikekalkan,” kata Noorin.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan, manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

Pada 24 Jun tahun lepas, Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 48, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun.

Jason Lo ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada peguam yang mewakilinya dalam kes itu.

“Saya percaya dengan sistem kehakiman di negara ini dan saya hargai jasa peguam yang telah bekerja keras dalam membantu saya dalam kes ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here