Jurujual didakwa pandu melulu hingga sebabkan kematian

0
150

SEORANG jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Parit Sulong, di sini, akhir bulan lepas.

Tan Min Chun, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, di sini pada 3.30 petang pada 27 Mac lepas dengan memandu kenderaan jenis Mazda CX5 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd Kamarul Shahril A. Samad, 43.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Tan Song Yan yang mewakii Min Chun memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya masih menanggung isteri dan anak berusia setahun selain menjaga ibunya yang sudah berusia.

Majistret Siti Zubaidah Mahat kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here