Dua ditahan bersama ganja, senapang dan bahan letupan

0
228

Oleh RIZQI ZABIDI

DUA lelaki ditahan polis bersama selaras senapang patah, ganja dan beberapa barangan berbahaya dalam serbuan di dua buah rumah berbeza di Baling, Kedah pada 28 Mac lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 6.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Katanya, kedua-dua lelaki yang ditahan berusia 34 dan 60 tahun.

“Dalam serbuan pertama, pihak polis menemukan selaras senapang patah berhulu kayu dan tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan anggaran 2.49 kilogram.

“Pemeriksaan di rumah seterusnya menemukan kotak besi. Pemeriksaan lanjut mendapati kotak besi itu mengandungi satu ‘roket hand fired signal’, empat unit ‘thunder flash’, tiga tabung ‘coloured smoke’, satu ‘clicker’ detonator, satu kotak yang di dalamnya terkandung ‘firing device demolition’, dua kotak ‘safety fuses’ dan lapan batang ‘flare’,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain boleh dikenakan hukuman sebat untuk kesalahan dadah.

“Selain itu, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan memiliki senapang,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, individu yang didapati bersalah kerana memiliki bahan letupan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau sebat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here