Tiga lelaki ditahan pecah amanah RM505,674 babitkan jualan cecair dan peralatan vape

0
235

POLIS menahan tiga lelaki kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang hasil jualan produk sebuah syarikat menjual cecair dan peralatan vape yang bernilai RM505,674, di Balik Pulau baru-baru ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan di laman Facebooknya, memaklumkan suspek berusia 22 hingga 25 tahun itu ditahan secara berasingan di Bayan Lepas dan Georgetown serta Gelugor, dekat sini semalam.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada syarikat vape tersebut berhubung berlaku kes  pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan produk syarikat sebanyak 28,093  botol vape yang bernilai RM505,674 melalui transaksi akaun bank persendirian.

“Pihak polis kemudiannya menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan tiga lelaki itu semalam, hasil risikan serta intipan yang dijalankan, mereka kini direman,” menurut kenyataan itu.

Siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang giat dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan kes lain polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berumur 30 tahun semalam kerana dipercayai menjadi “keldai akaun” kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM61,946.60

Katanya berdasarkan siasatan, kedua-dua disyaki menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan dalam urusan tawaran kerja sambilan melalui laman jualan Zalora dan urusan jual beli pakaian yang diiklankan melalui Facebook.

“Mereka ditahan secara berasingan di Jelutong dan Bayan Lepas, siasatan polis mendapati suspek itu terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan pada 2022 dan tahun ini. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah antara RM7,234 sehingga RM61,946.60,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau boleh memuat turun di Aplikasi Google Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here