Pesara tentera mengaku tidak bersalah terima rasuah RM15,000

0
173

PESARA tentera didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM15,000 sebagai ganjaran untuk mengeluarkan surat tawaran kerja pembersihan Kem 5 Briged, di Kota Kinabalu, pada 2014.

Tertuduh, Azman Ariffin, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Azman yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Staff 2 Gaji / Belanjawan di Markas Briged Ke-5 Infantri, Kem Lok Kawi, Sabah, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM15,000.

Tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang individu, Kasriza B. Sudin di Pintu Utama Suria Sabah Shopping Mall, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu pada Ogos 2014.

Wang berkenaan dikatakan sebagai upah untuk mengeluarkan Surat Tawaran Kerja-kerja Membersih Kawasan Kem 5 Briged bagi tempoh kontrak dari 1 Jun 2014 sehingga 31 Mei 2015, dengan nombor rujukan 5BGD/BEL/G4-(12) bertarikh 12 Mei 2014 atas nama SB Lui Enterprise.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh dengan RM2,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam dari pejabat guaman Nohin & Partners.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei depan, lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here