Laman web Jabatan Imigresen digodam ‘CaptainSmok3r’ – KP Imigresen

0
320

LAMAN web rasmi Jabatan Imigresen (JIM) digodam oleh penyerang yang menggelarkan dirinya sebagai ‘CaptainSmok3r’ pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata serangan siber berbentuk defacement (perbuatan merosakkan permukaan) itu mengakibatkan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej yang lain.

“Walau bagaimanapun, capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan serangan berkenaan.

“JIM sudah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web dari akses orang ramai dan melakukan kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Teknologi Maklumat JIM juga sudah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama pihak NACSA dan CyberSecurity bagi membantu JIM untuk tindakan pengukuhan laman web.

“Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai petang ini,” katanya.

Ruslin turut menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu JIM menerusi hebahan di media sosial seawal pagi tadi memaklumkan laman webnya iaitu www.imi.gov.my sedang diselenggara buat sementara waktu lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here