Penolakan semakan keputusan SRC tak jejas kes 1MDB Najib – Peguam

0
149

PIHAK pendakwaan mahupun pembelaan dilihat tidak mungkin berkompromi dalam prosiding jenayah berkaitan kes 1MDB terhadap Datuk Seri Najib Razak, kata seorang peguam dan bekas timbalan pendakwa raya (TPR).

Mereka berkata, peguam negara yang juga pendakwa raya, akan meneruskan semua pertuduhan yang dikenakan dalam tempoh lima tahun lalu, manakala Najib dijangka melawan semua kes itu bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

Bekas TPR kanan, Stanley Isaacs berkata, pengesahan terhadap sabitan Najib oleh Mahkamah Persekutuan minggu lalu bermakna tiada sebab untuk pihak pendakwaan menghentikan atau menarik balik pertuduhan lain yang belum selesai terhadapnya.

“Apabila seseorang dihadapkan atas pertuduhan di mahkamah, bermakna peguam negara atau TPR berpuas hati terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa dan sehingga 90% yakin untuk mendapatkan sabitan,” katanya, lapor FMT.

Tambahan, katanya, pertuduhan yang dihadapi Najib berdasarkan fakta dan merit mereka sendiri, justeru ia perlu diambil melalui kesimpulan logik mereka.

“Melakukan sebaliknya akan menimbulkan kebimbangan orang ramai dan persoalan negatif mengenai integriti penggunaan kuasa pendakwaan oleh peguam negara,” katanya.

Isaacs, yang juga bekas ketua pendakwaan, berdasarkan pandangannya terhadap tradisi dipegang di Jabatan Peguam Negara berkata, sebaik saja kes bermula, setiap prosiding jenayah mesti diteruskan sehingga selesai, dan diserahkan kepada hakim untuk membuat keputusan.

Katanya, jika Najib disabitkan, terpulang kepada tertuduh atau pendakwaan untuk mencadangkan hakim perbicaraan memerintahkan sebarang hukuman penjara tambahan dijalankan serentak dengan tempoh hukuman sedia ada.

Beliau mengulas sama ada pihak pendakwaan mungkin menarik balik pertuduhan terhadap Najib, jika beliau mengaku bersalah bagi memudahkan proses pengampunan.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes rasuah SRC International.

Dalam keputusan majoriti 4-1 minggu lalu, mahkamah tertinggi menolak permohonan semakan Najib, bermakna beliau akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada akhir perbicaraannya pada Julai 2020.

Najib juga boleh didenda RM210 juta atau tambahan penjara lima tahun, jika ingkar.

Peguam Kitson Foong berkata, peguam negara tidak akan menarik balik pertuduhan yang dibicarakan di mahkamah secara sukarela.

Katanya, peguam negara boleh menggunakan budi bicaranya selepas representasi bertulis dibuat tertuduh untuk mengkaji semula pertuduhan berdasarkan perkembangan baharu.

Beliau berkata, tidak mungkin Najib akan “bertindak sebaliknya” dan mengaku bersalah atas mana-mana pertuduhan kerana beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dalam semua prosiding jenayah setakat ini.

Peguam Zainur Zakaria berkata, tidak mungkin Lembaga Pengampunan akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Najib kerana kes jenayah masih berterusan.

“Biasanya permohonan untuk pengampunan akan dipertimbangkan hanya selepas kes di mahkamah selesai,” katanya sambil menambah beliau tidak menemui sebarang petisyen yang dipertimbangkan secara berperingkat.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Seramai 40 saksi sudah memberi keterangan dan pihak pendakwaan akan menutup kesnya dengan memanggil 10 saksi lagi.

Beliau juga didakwa bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah atas enam pertuduhan menyeleweng RM6.64 bilion dana awam untuk membuat pembayaran kepada International Petroleum Investment Co.

Selain itu, Najib juga didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM27 juta membabitkan dana SRC International.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi belum bermula.

Najib dan bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada 3 Mac lalu atas dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here