Pemandu bas tular guna telefon disaman

0
200

TINDAKAN pemandu bas menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tular di media sosial mengundang padah apabila polis mengeluarkan saman ke atas lelaki itu.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, tindakan diambil ke atas pemandu bas berkenaan mengikut Peraturan 17A LN166/59 kerana memandu menggunakan telefon tanpa alat bebas tangan.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

“Polis berjaya mengesan pemandu bas terbabit dan mengarahkan dia hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Namun katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu bas itu didapati ia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Terdahulu tular video berdurasi 21 saat pada Jumaat lalu memaparkan seorang pemandu bas menggunakan telefon ketika memandu dan perbuatan itu mendapat reaksi warga net yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here