Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas, 183kg syabu bernilai RM6j dirampas

0
121

BAWA bekalan syabu sebanyak 183 kilogram (kg) bernilai lebih RM6 juta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

Bagaimanapun, rancangan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu berjaya dipatahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang dalam operasi bermula kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam beberapa serbuan di sekitar negeri itu dan Kuala Lumpur, lima lelaki warga asing serta seorang lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun turut berjaya ditahan.

Katanya, kesemua suspek bekerja sebagai peniaga, buruh binaan serta penganggur dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu.

Jelas beliau, suspek pertama iaitu seorang lelaki warga asing di AutoCity, Juru, kira-kira pukul 6 petang, Rabu lalu yang mana polis merampas lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 183.6 kilogram yang disimpan di dalam kereta jenis Honda CRV yang dipandunya.

“Menerusi tangkapan itu, polis berjaya mendapatkan maklumat yang menjurus kepada penahanan suspek-suspek lain di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

“Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi semalam di sebuah rumah di Bukit Bintang yang mana polis merampas wang tunai berjumlah RM500,000 serta menyita beberapa buah kenderaan mewah antaranya Porsche, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas enam suspek negatif dadah manakala semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, selain tujuh buah kenderaan bernilai RM1.38 juta, turut disita dalam operasi tersebut sebuah bot fiber bersama dua buah enjin bernilai RM380,000.

“Bot itu dipercayai digunakan untuk membawa dadah ke negara jiran yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Dua nelayan warga asing turut ditahan dalam operasi ini dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah-dadah ini ke negara jiran dan mereka bergerak dari Kuala Juru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here