Kastam rampas RM5.16 juta minuman keras

0
149

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

CUBAAN satu sindiket menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama dengan menggunakan lapan kontena tidak berjaya selepas berjaya dihidu kastam di Pelabuhan Klang pada 3 Mac lalu.

Anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Marin Sungai Pulai menemukan minuman keras dalam semua kontena berkenaan selepas melakukan pemeriksaan pada pukul 6.30 petang.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Misbahudin Parmin berkata, kegiatan penyeludupan minuman keras itu berjaya dipatahkan setelah menerima maklumat dan mendapat kerjasama risikan zon selatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran Borang Kastam 1 (BK1), dagangan yang diikrar adalah alat ganti mesin, tidak sama dengan muatan yang terdapat dalam kontena.

“Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu dan perakuan tidak benar dalam BK1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak dari dikenakan duti import,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai di Gelang Patah, Iskandar Puteri hari ini.fg

Menurutnya, anggaran barang dagangan yang dirampas adalah bernilai RM922,000 manakala jumlah duti dan cukai terlibat bernilai lebih RM4.16 juta.

Katanya, lapan kontena yang disita itu dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah keseluruhan dagangan termasuk cukai dan kontena adalah lebih RM5.16 juta.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan tidak berkastam atau barangan larangan.

Pesalah ujar beliau, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here