Polis kesan pasangan suami isteri,guna kad ATM milik pesara

0
157

POLIS sedang mengesan dua individu disyaki pasangan suami isteri dipercayai warga tempatan yang didakwa menggunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik seorang pesara kerajaan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata ia susulan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu Isnin lepas daripada mangsa yang berusia 62 tahun menyatakan kad ATM bank miliknya telah ditukar dan digunakan oleh individu yang tidak dikenali.

Ahmad Ridhwan berkata kejadian itu disedari mangsa rentetan insiden sebelum ini iaitu kadnya didapati tersangkut pada mesin ATM di sebuah bank di Banting, Kuala Langat sekitar 10 pagi, 25 Mac lepas.

Ekoran itu, seorang lelaki yang tidak dikenali kebetulan berada di bank itu telah membantu dan berjaya mengeluarkan kad ATM mangsa yang juga pengadu serta diserahkan kepada pesara itu tanpa mengesyaki apa-apa.

“Isnin lalu sekitar 9.30 pagi, pengadu sekali lagi ke bank dan cuba untuk keluarkan wang tetapi tidak berjaya lalu terus merujuk masalah berkenaan di kaunter bank lantas mendapati kad tersebut bukanlah miliknya.

“Semakan akaun pengadu mendapati terdapat 23 kali transaksi penggunaan kad tersebut dan wang sebanyak RM46,000 telah digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai menjual telefon bimbit di Kapar, Klang memaparkan sepasang individu disyaki suami isteri berusia sekitar awal 30-an telah membuat pembelian telefon pintar jenis Iphone 13 menggunakan kad ATM milik pengadu.

Katanya, siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 dan usaha untuk mengesan suspek juga sedang dibuat.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 44 saat di Twitter memaparkan seorang lelaki bersama dengan seorang wanita di sebuah kedai telefon sedang membuat pembelian menggunakan kad ATM yang didakwa milik individu lain. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here