Konsep Madani dalam kerajaan campuran PH-BN belum kelihatan – Mahathir

0
403

KERAJAAN campuran Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mampu memperlihatkan konsep Madani dalam pentadbiran mereka.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah, Mahathir Mohd Rais berkata, sebaliknya lebih banyak langkah kerajaan yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat seperti meneruskan amalan lapuk iaitu lantikan politik.

“Salah satu manifestasi yang paling ketara dalam pendekatan pentadbiran ini ialah peningkatan lantikan politik dan pilih kasih dalam kerajaan.

“Pelantikan politik, nepotisma bertentangan dengan idea meritokrasi dan menjadikan seolah-olah hubungan politik lebih penting daripada kapasiti atau keupayaan. Ia juga mempersoalkan komitmen kerajaan terhadap keterbukaan dan akauntabiliti mereka kerana pelantikan politik dilihat boleh membawa kepada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mahathir, pelantikan individu berkepentingan politik mampu melemahkan kredibiliti agensi kerajaan dan menjadi contoh buruk kepada pentadbiran negara.

“Sebarang campur tangan terhadap keputusan mahkamah jelas menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman dan mempersoalkan keadilan prosiding undang-undang.

“Untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama dan tanpa berat sebelah, mahkamah mesti kekal bebas daripada pengaruh politik,” katanya.

Selain amalan nepotisma, Mahathir turut mempertikai keputusan Anwar menjadi Menteri kewangan walaupun memegang portfolio sebagai Perdana Menteri (PM).

“Kerajaan juga didapati tidak mengendahkan pengasingan kuasa antara PMdan Menteri Kewangan. Kelemahan ini boleh menyebabkan penumpuan kuasa hanya tertumpu kepada satu individu, membuka ruang kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa yang ditentang sendiri oleh Perdana Menteri dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir menuntut ketelusan dari kerajaan agar demokrasi terus kukuh dan rakyat tidak dipinggirkan hanya untuk meraih keuntungan peribadi.

“Kebanyakan rakyat, terutamanya daripada kaum Cina dan India yang menyokong Pakatan Harapan, tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan, khususnya kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya.

“Rakyat mengharapkan ketelusan dan komitmen daripada mereka yang telah dipilih, serta menuntut agar mereka bertanggungjawab atas segala tindakan demi memastikan khidmat mereka hanya untuk kepentingan rakyat dan bukannya demi meraih cita-cita politik atau keuntungan peribadi.

“Kita mesti terus mempertanggungjawabkan pemimpin kita atas tindakan mereka dan menuntut ketelusan dan akauntabiliti,” jelasnya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here